KUALA LUMPUR, 15 Mei – Dua individu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan menuntut atau menyetujui terima bayaran tanpa niat untuk membekalkan pakaian dijual secara dalam talian.
Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata kedua individu berkenaan yang juga pasangan suami isteri ditahan di pejabat KPDN cawangan Manjung, Perak.
Katanya, ia susulan siasatan ke atas aduan diterima daripada orang awam berhubung penjualan pakaian secara dalam talian sempena Hari Raya Aidilfitri yang tidak wujud.
“Aduan dibuat ke atas syarikat beralamat di Sitiawan, Perak di mana pengadu membuat pembelian bagi sepasang baju kurung setelah melihat tawaran iklan melalui laman sosial Facebook milik suspek.
“Bagaimanapun, setelah pembayaran dilakukan sehingga tempoh aduan dibuat, baju kurung dibeli tidak diterima pengadu.
“KPDN berjaya mengesan maklumat butiran suspek seterusnya siasatan dilakukan ke atas individu terbabit yang juga pemilik syarikat itu.
“Setelah rakaman percakapan dilakukan, pihak KPDN bertindak menahan dua individu berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya.
Azman berkata, KPDN menerima lebih 100 aduan dari seluruh negara berkaitan penipuan jualan dilakukan suspek secara dalam talian.
“Hasil siasatan lanjut dilakukan mendapati, suspek menerima wang daripada pelanggan melalui akaun bank syarikat mereka membabitkan jumlah ratusan ribu ringgit sepanjang pengiklanan di Facebook,” katanya.
Katanya lagi, KPDN turut menyita peralatan elektronik bernilai RM8,700 bagi tujuan siasatan lanjut.
“Kedua suspek adalah warganegara tempatan berumur lingkungan 40-an dan mereka sudah dibawa ke Mahkamah Majistret Manjung bagi permohonan reman.
“Majistret membenarkan tempoh empat hari reman bermula 12 Mei lalu hingga hari ini,” ujarnya.
Kertas siasatan mengikut Akta Pelindungan Pengguna 1999 [Akta 599] sudah dibuka bagi siasatan menyeluruh ke atas pengiklanan dan transaksi kewangan. – nasionalkini.my


