KUANTAN, 27 Julai – Seramai 101 pelajar cemerlang telah mendapat manfaat daripada pelaksanaan Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar Pahang (BKMB) dengan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM12.25 juta sejak 1998.
YP dalam satu kenyataan berkata, daripada jumlah itu 39 adalah pelajar bidang perubatan, sastera/pendidikan (39), kejuruteraan (13), sains (7) dan teknologi maklumat (3) .
“Nilai yang ditawarkan adalah lebih tinggi daripada kebanyakan biasiswa atau pinjaman pendidikan sedia ada bagi melanjutkan pengajian hingga peringkat tertinggi iaitu doktor falsafah di Institusi Pengajian Tinggi di dalam negara yang diiktiraf oleh Kerajaan,” kata kenyataan itu hari ini.
Sebelum itu berlangsung penganugerahan kecemerlangan iaitu BKMB, anugerah pelajar dan sekolah cemerlang Program Baca Cepat Kawanku (BCK) ini disampaikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini.
Dalam majlis itu seramai empat pelajar cemerlang menerima BKMB iaitu Muhammad Ashraf Aiman Mohd Imran, Muhammad Ziyad Zaidan, Nik Hadif Darwisy Mohd Hazaki dan Nurin Allya Insyira Norshamsulazman.
Menurut YP lagi, pelajar akan menerima sijil kecemerlangan dan wang tunai sebanyak RM1,000 dengan tajaan penuh biasiswa sehingga peringkat pengajian tertinggi iaitu doktor falsafah meliputi yuran pengajian, sara hidup, laptop, buku, tesis, kertas projek dan lain-lain.
“BKMB adalah biasiswa paling berprestij di Negeri Pahang dan pemegangnya merasa terhormat kerananya. Biasiswa ini dianugerahkan kepada pelajar-pelajar yang benar-benar cemerlang dalam peperiksaan awam peringkat SPM dan STPM serta aktif dalam kegiatan kokurikulum,” kata kenyataan itu. – nasionalkini.my