in ,

Tutup cerita isu kenyataan Tony Pua anggap BN ‘pakatan korup’

IMG 20230624 WA0037
Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros

Oleh Luth Adwa

BATU PAHAT, 24 Jun – Semua pihak disaran melupakan dan menutup cerita berhubung isu kenyataan bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang menganggap Barisan Nasional (BN) sebagai ‘pakatan korup’.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sudah pun menyatakan bahawa kenyataan itu dibuat atas kapasiti indivitu dan tidak mewakili kepemimpinan parti itu.

“Jadi, eloklah kita tinggalkan dan tutup cerita ini. Setiausaha Agung DAP sendiri sudah menegur beliau.

“Pemuda UMNO Johor juga lega kenyataan Tony Pua itu bukan pendirian rasmi parti DAP,” katanya di sini hari ini.

Malam tadi, Tony Pua yang juga bekas Ahli Parlimen Damansara, ketika berucap pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP di perkarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), memberi label sama kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selaku sebuah lagi parti nasionalis Melayu.

Tony Pua turut menyuarakan harapan supaya Pakatan Harapan (PH) selepas ini dapat membentuk kerajaan sendiri dalam kalangan komponen gabungan itu, tanpa membabitkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sekiranya gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali meminta Tony Pua supaya membantu gabungan Kerajaan Perpaduan untuk mewujudkan kestabilan politik dan pemulihan ekonomi.

“Jangan ibarat menembak kaki sendiri sedangkan kita baru mahu stabil berdiri untuk menghadapi cabaran dihadapi oleh negara pada masa ini.

“Pada dasarnya, DAP memutuskan untuk bekerjasama dengan gabungan politik lain demi mencapai kestabilan politik. Ia selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu menyaksikan tiada mana-mana parti politik mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan pusat,” katanya. – nasionalkini.my

IMG 20230624 WA0035

PN tiada ‘abang besar’ – Muhyiddin

IMG 20230624 WA0061

Melaka jadikan tanah terbiar kawasan pertanian berteknologi tinggi