in ,

PN tiada ‘abang besar’ – Muhyiddin

IMG 20230624 WA0035
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan 52 Lembu Korban Sempena Program Korban Perdana Parlimen Pagoh 2023 di Bukit Pasir di Muar

Oleh Luth Adwa

MUAR, 24 Jun – Tiada istilah ‘abang besar’ dalam Perikatan Nasional (PN) walaupun Pas mendapat jumlah kerusi paling banyak iaitu 126 kerusi daripada keseluruhan 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembahagian mengambil kira kerusi penyandang yang mana Pas sudah berada di negeri tertentu terutama pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

“Fakta bahawa Pas mempunyai kerusi lebih banyak, itu nyatalah kerana sebelum Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) wujud pun, Pas sudah lama wujud, Pas sudah menguasai kerajaan di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Parti Pas juga ada kerusi di negeri lain tetapi kita rasa pembahagian adil, Pas lebih di tiga negeri, tapi di Selatan iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Bersatu lebih, begitu juga Pulau Pinang,” katanya selepas Majlis Penyerahan 52 Lembu Korban Sempena Program Korban Perdana Parlimen Pagoh 2023 di Bukit Pasir, di sini hari ini.

Muhyiddin dalam pada itu berkata, PN belum memutuskan calon bakal bertanding memandangkan gabungan itu baharu selesai mengumumkan kerusi ditandingi membabitkan parti Pas, Bersatu dan Gerakan

“Biasanya kita ambil pertimbangan mereka yang sudah ada dan kekal layak, mereka yang baharu sama ada pemuda atau wanita dan usia mereka akan diambil kira.

“Apa pun biasalah kita pastikan ada penyertaan yang adil atau sesuai oleh kategori kumpulan calon yang akan dikemukakan kepada kita,” katanya.

PRN akan datang membabitkan 36 DUN di Kedah, Kelantan (45) dan Terengganu (32) yang berada di bawah pentadbiran PN manakala Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36) iaitu negeri di bawah Pakatan Harapan (PH).

Pas ketika ini menyandang 36 kerusi DUN di Kelantan, Terengganu (22), Kedah (15) manakala masing-masing satu di Selangor dan Pulau Pinang. – nasionalkini.my

1,000 unit kediaman baharu di Johor Bahru, Kluang

IMG 20230624 WA0037

Tutup cerita isu kenyataan Tony Pua anggap BN ‘pakatan korup’