Aimy Maisarah
KOTA BHARU, 22 Jun – “Anda boleh panggil saya Fatimah Kemboja,” itu permintaan Fatimah Aisyah Ahmad Syafik, 9, yang banyak menghasilkan lukisan bunga kemboja.
Murid Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail 2 yang bercita-cita menjadi pelukis terkenal itu pernah memenangi beberapa pertandingan melukis di Negeri Kelantan.
Fatimah Aisyah ketika ditemui berkata, bunga kemboja sangat cantik dan dia menjadikannya sebagai satu inspirasi untuk mengabdikan keindahan itu di kanvas.
Lukisan anak sulung daripada tiga beradik itu juga pernah dibeli dan ditempah beberapa individu untuk dijadikan kenangan dan cenderamata.
“Wang hasil jualan lukisan akan digunakan untuk melancong dan sebahagiannya disimpan sebagai persediaan masa depan saya,” katanya.
Anak kepada guru Matematik itu dipilih menyertai pameran lukisan di sebuah pusat beli-belah di bandar ini 28 Mei lalu.
Fatimah Aisyah yang bercita-cita menjadi pelukis terkenal turut berbakat melukis pemandangan alam dan corak batik. – nasionalkini.my