Oleh Luth Adwa
JOHOR BAHRU, 25 Jun – Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuat naik gambar beliau di Stadium Sultan Ibrahim dengan ‘scoreboard’ di stadium itu memaparkan keputusan JDT menewaskan Selangor 5-0.
Tindakan itu dilihat seakan perang psikologi dilancarkan Tengku Mahkota Johor (TMJ) menjelang aksi separuh akhir Piala FA antara kedua-dua pasukan malam esok.
JDT memiliki rekod baik berdepan Selangor dengan pertembungan terakhir kedua-dua pasukan dalam aksi Liga Super pada Mac lalu menyaksikan skuad Harimau Selatan menang besar 4-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Tentunya dalam aksi separuh akhir ini, JDT dahagakan kemenangan besar sekali gus melangkah ke perlawanan akhir dan mengekalkan kemenangan piala itu seperti tahun lalu.
Untuk rekod, penganjuran Piala FA Malaysia bermula pada 1990.
Pertandingan ini sebelum ini diuruskan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sebelum dipindahkan ke Bola Sepak Malaysia LLP (MFL) (kini dikenali sebagai Liga Bola Sepak Malaysia) pada musim 2016.
Pasukan Selangor dan Kedah merupakan dua kelab paling berjaya dalam kejohanan ini apabila masing-masing pernah memenangi kejohanan ini sebanyak lima kali.
Bagi 2023, ia merupakan edisi yang ke 33 penganjuran kejohanan ini.
Seorang penyokong JDT, Kamariah Kadir berharap skuad Harimau Selatan menewaskan Selangor di laman sendiri sekali gus melangkah ke perlawanan akhir Piala FA 2023.
“Kalau boleh kita mahukan jaringan besar tapi apa yang lebih penting adalah kemenangan dan layak ke perlawanan akhir,” katanya. – nasionalkini.my