PHNOM PENH, 12 Mei – Skuad badminton negara sekali lagi gagal membawa pulang emas selepas tewas 1-3 kepada musuh ketat, Indonesia dan terpaksa akur dengan pingat perak dalam pusingan akhir berpasukan lelaki pada Sukan SEA 2023 di Dewan Badminton Morodok Techo, malam tadi.
Malaysia mendahului melalui pemain perseorangan utama negara Leong Jun Hao yang berada di ranking ke-64 dunia apabila hanya mengambil masa 31 minit menewaskan pemain nombor 19 dunia Chico Aura Dwi Wardoyo, 21-16, 21-13.
Bagaimanapun, juara beregu lelaki Seluruh England 2022, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana memberi inspirasi kepada kebangkitan Indonesia apabila berjaya mengatasi beregu utama negara Beh Chun Meng-Goh Boon Zhe, 21-12, 22-20 – menjadikan kedudukan terikat 1-1.
Christian Adinata kemudian meletakkan Indonesia di depan apabila mengetepikan pemain perseorangan kedua Malaysia Lee Shun Yang 21-17, 21-9, lapor Bernama.
Walaupun menang set pertama daripada empat perlawanan, 21-13, beregu lelaki kedua negara Chia Weijie-Liew Xun tumbang pada dua set terakhir dalam aksi menentang Pramudya Kusumuwardana-Yeremia Erich Yoche Rambitan, 16-21, 16-21, setelah pasangan Indonesia berkenaan meraih mata pingat emas pada pertembungan selama 50 minit itu.
Ketika pemain Indonesia meraikan pingat emas ke-18 mereka pada acara itu, gandingan Malaysia tunduk mengalah, memikirkan apa yang mereka perlu lakukan lagi untuk menamatkan kemarau 18 tahun. – nasionalkini.my