IPOH, 3 Ogos – Perak FC berjaya menumpaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 3-1 dalam pusingan 16 saingan Piala Malaysia di Stadium Perak di Ipoh sebentar tadi.
Kedah membuka jaringan awal menerusi tandukan Kapten Pasukan, Manuel Ott pada minit pertama perlawanan melalui sepakan penjuru Fayadh Zulkifli.
Tersentak dengan jaringan itu, Perak FC memperkemaskan pertahanan mereka bagi mengekang asakan pasukan pelawat.
Bagaimanapun, tuan rumah hanya memerlukan tiga minit selepas rehat untuk mengikat kedudukan kepada 1-1 apabila Guaycochea menyempurnakan sepakan penalti.
Pada minit ke-55, penyerang baharu Perak FC, Luka Milunovic berjaya menyumbat gol kedua tuan rumah selepas menyempurnakan hantaran Firdaus Sayadi seterusnya mendahului perlawanan dengan 2-1.
Ketika perlawanan memasuki lima minit terakhir, Perak FC menambah derita KDA FC dengan tambahan gol ketiga menerusi pemain gantian, Hakimi yang berjaya memperdaya Kalamullah.
Tamat perlawanan menyaksikan tuan rumah berjaya mengatasi KDA FC dengan keputusan 3-1. – nasionalkini.my