KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Cef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan hari ini mengesahkan beliau menghidap penyakit kanser limfoma dan bakal memulakan rawatan dalam masa terdekat.
Dalam satu hantaran di laman Instagramnya, kanser limfoma yang dihidapi mungkin masih berada pada peringkat awal memandangkan beliau masih sihat dan tidak mengalami sebarang simptom.
“Pada pukul 3 petang tadi, saya menerima diagnosis daripada doktor yang mengesahkan saya menghidap kanser limfoma.
“Saya bakal melakukan imbasan Tomografi Pancaran Positron (PET) untuk melihat sama ada kanser tersebut telah merebak ke organ-organ lain,” katanya.
Tambah Chef Wan, kanser tersebut mempunyai peluang sembuh sebanyak 70 hingga 80 peratus sekiranya dikesan awal.
“Doktor juga akan memulakan kemoterapi yang mungkin mengambil masa selama 13 minggu.
“Saya akan mula mengalami keguguran rambut selepas ini. Jadi, saya sudah bersedia untuk menggayakan rambut palsu seperti Elvis, M. Daud Kilau dan sebagainya pada masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Chef Wan berkata, beliau telah menerima takdirnya dengan hati yang terbuka dan akan terus kuat demi keluarga tercinta. – nasionalkini.my