in

Perjudian Atalanta berbaloi, Hojlund selangkah ke United

IMG 20230730 WA0054
Rasmus Hojlund

Oleh Iskandar Zulkarnain

KIRA-kira setahun yang lalu, kelab Itali, Atalanta Bergamasca memperjudikan wang yang banyak untuk membeli seorang pemain muda tidak dikenali dari Denmark, Rasmus Hojlund.

La Dea membelanjakan sekitar 17 juta euro (RM85.5 juta) bagi mendapatkan penyerang tinggi lampai 1.91 meter berusia 19 tahun itu kerana percaya Hojlund mampu menjadi bintang besar.

Melaburkan duit yang banyak bagi pemain belum diketahui potensi sebenar pasti mengundang rasa gerun, khusus bagi kelab pertengahan seperti Atalanta, silap hari bulan boleh jatuh muflis.

Namun mereka percaya kepada pasukan pencari bakat kelab yang diketuai oleh jurulatih cukup berpengalaman dan disegani ramai Gian Piero Gasperini.

Gasperini bukanlah nama asing dalam kancah bola sepak Eropah, beliau dikenali sebagai seorang yang bijak dalam taktikal selain berkemampuan membangunkan pemain biasa menjadi luar biasa.

Antara contoh pemain yang berjaya digilap bakatnya seperti Papu Gomez, Josip Ilicic, Gianluca Mancini, Hans Hateboer, Robin Gosens, Duvan Zapata dan ramai lagi.

Maka tidak hairan sekiranya Hojlund mempamerkan aksi di luar jangka dalam musim debutnya di Serie, dengan menjaringkan sembilan gol daripada 32 perlawanan.

Aksi penuh bertenaga dan positifnya bersama Jeremie Boga dan Ademola Lookman menyebabkan penyerang utama Zapata lebih banyak menghabiskan masa di kerusi empuk Recaro.

IMG 20230730 WA0055
Perjudian Atalanta berbaloi, Hojlund selangkah ke United 3

Meskipun, jumlah jaringan Hojlund tidak begitu mempersonakan namun ramai melihat beliau memiliki potensi besar untuk menjadi penyerang berbisa suatu masa nanti.

Susuk tubuh tinggi, selain memiliki larian deras serta sangat bijak di dalam kotak D adalah pakej yang mewajarkan andaian tersebut.

Malah, media Denmark mula mengembar-gemburkan bakat ini sebagai Erling Braut Haaland baharu meskipun gaya permainan mereka nyata berbeza.

Kelibat Hojlund mula dihidu elitis dan hari ini, media melaporkan, kelab gergasi Inggeris, Manchester United telah mencapai persetujuan bagi mendapatkan pemain itu pada harga sekitar 70 juta euro (RM352 juta).

Tanda harga tersebut nyata kurang daripada apa yang diminta oleh Atalanta iaitu sekitar 100 juta euro (RM503 juta) namun apa ditawarkan United sudah cukup tinggi.

Sebelum ini, United menerima saingan hebat daripada PSG yang turut menyatakan minat terhadap bakat tersebut yang kini seakan-akan menekan pedal brek.

Sekiranya perpindahan ini berjaga dimeterai, pastinya pihak pengurusan Atalanta menarik nafas lega kerana perjudian mereka selama ini membuahkan hasil.

Inilah cara kelab kecil dan pertengahan di Eropah meneruskan kelangsungan mereka, terpaksa bertindak berani melabur ke atas bakat muda dalam usaha mencari keuntungan berlipat ganda.

Jika berjaya pastinya senyuman terukir namun sekira sebaliknya berlaku, kelab berkemungkinan berdepan dengan masalah kewangan yang memeningkan.

Buat Hojlund, Nasionalkini mengucapkan selamat maju jaya di kelab baharu dan semoga terus membangun menjadi seorang penyerang mengerunkan suatu masa nanti. – nasionalkini.my

lombong 1690720239

Lapan individu terperangkap dalam lombong dikhuatiri maut

hm30sobawang 1690720323

Kematian yang dicemburi, Dr. Mohd Soberi rebah ketika sampaikan kuliah Subuh