INDONESIA, 30 Julai – Seramai lapan individu yang terperangkap dalam lombong emas haram di Pulau Jawa Indonesia dikhuatiri maut selepas usaha mencari memasuki hari kelima.
Memetik laporan AFP, kumpulan pekerja itu dikatakan sedang menjalankan kerja menggali di dalam lubang sedalam 60 meter di kampung Pancurendang di Jawa Tengah pada petang Selasa terperangkap apabila air tiba-tiba membanjiri lombong haram itu.
Pasukan penyelamat bertungkus-lumus mengepam air sepanjang masa bagi menyalurkan aliran ke empangan berhampiran supaya usaha itu berhasil mengeluarkan air daripada kawasan perlombongan, namun ia tetap dinaiki air semalam.
“Ini sudah hari kelima, kami menjangkakan berita buruk mangsa yang terperangkap mungkin sudah meninggal dunia,” kata Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat tempatan, Adah Sudarsa kepada pemberita.
Sudarsa berkata, usaha menyelamat akan diteruskan sehingga Selasa dengan harapan dapat menjejaki mayat pelombong.
Pihak berkuasa merancang untuk mengerahkan penyelam bagi mencari pelombong tetapi pegawai penyelamat tempatan, Priyo Prayudha Utama memberitahu AFP ia ‘tidak mungkin’ kerana lubang di dalam lombong terlalu sempit. – nasionalkini.my