in

Penantian 33 tahun Napoli berakhir

20230505 095811
Penantian 33 tahun pasukan Napoli untuk menjuarai Serie A Itali berakhir - Gambar oleh 433

UDINE, 5 Mei – Napoli akhirnya menamatkan penantian panjang mereka untuk merangkul gelaran Serie A, awal pagi tadi, menyamai rekod dicipta ikon kelab iaitu mendiang Diego Maradona dengan muncul juara Itali ketika berbaki lima perlawanan.

Keputusan seri 1-1 dengan Udinese sudah cukup untuk memberikan Napoli mata yang diperlukan bagi menamatkan penantian selama 33 tahun untuk muncul juara sekali gus mencetuskan sambutan luar biasa di kalangan ribuan peminat di Udine, di Stadium Maradona di Naples dan di sekitar bandar terbesar di selatan Itali itu.

Penyokong Napoli meluru ke padang di Arena Dacia untuk meraikan skuad bimbingan Luciano Spalletti yang mendominasi saingan musim ini sekali gus mencetuskan ketegangan dengan penyokong tuan rumah yang tidak berpuas hati dengan sambutan terbuka sebegitu di padang mereka, lapor AFP.

Victor Osimhen menjaringkan gol penting pada separuh masa kedua bagi memadam jaringan pendahuluan pasukan tuan rumah, Sandi Lovric di babak pertama sekali gus menyamai pencapaian kelab itu diketuai Maradona yang muncul juara liga pada 1987 dan 1990.

“Untuk dibandingkan dengannya, menjadi kapten selepas Maradona bagi menjulang Scudetto, sukar untuk saya menggambarkannya dengan kata-kata,” kata kapten Napoli, Giovanni Di Lorenzo.

“Ini bukan kejuaraan saya seorang, ia milik setiap pemain dan semua yang bekerja keras bagi merealisasikan impian kami.”

Spalletti dan pasukannya akan menerima sambutan yang penuh emosi apabila mereka kembali ke Naples yang mana pesta di bandar itu dijangka diteruskan sehingga sekurang-kurangnya perlawanan di tempat sendiri menentang Fiorentina pada Ahad ini.

“Melihat penyokong Napoli gembira sudah cukup untuk memberikan anda rasa kegembiraan yang mereka rasakan,” kata Spalletti yang mengalirkan air matanya.

“Orang-orang ini akan melihat saat ini apabila hidup semakin sukar, mereka mempunyai hak untuk meraikan seperti ini. Anda berasa lebih tenang apabila mengetahui bahawa anda sudah memberi mereka detik kebahagiaan ini.”

Penyerang antarabangsa Nigeria, Osimhen dilabel sebagai watak penting Napoli menerusi pretasi terbaik yang ditunjukkannya sepanjang saingan musim ini bagi membantu kelab itu muncul juara liga.

Gol penentuan kejuaraan yang dijaringkan Osimhen adalah jaringan ke-22 daripada 28 penampilannya dalam saingan liga musim ini.

Napoli berkelebihan 16 mata dengan penghuni tangga kedua, Lazio sekali gus membolehkan penyokong mereka mempunyai tempoh sebulan untuk meraikan kejayaan sehingga tamat saingan liga musim ini. – nasionalkini.my

Amah tidak dibayar gaji 15 bulan

20230505 102742

Susah gantung lesen pemandu cuai jika benar perbaharui lesen hingga 10 tahun