KUCHING, 22 Jun – Astana Negeri Sarawak menafikan berita tular yang mendakwa Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud sedang sakit.
Setiausaha Sulit Yang di-Pertua Negeri, Juhih Salleh Ahmad dalam kenyataan memaklumkan, Tun Abdul Taib kini berada dalam keadaan baik dan sihat, manakala berita yang tular ketika ini adalah palsu sepenuhnya.
“Kami ingin memberi jaminan bahawa semua berita tular dan tidak disahkan berkenaan kesejahteraan Tun dalam platform media sosial, bukan dari Astana Negeri Sarawak adalah benar-benar palsu dan tidak benar.
“Kami berharap dengan kenyataan akhbar ini, semua laporan tidak benar dan khabar angin mengenai Tun Abdul Taib Mahmud dihentikan segera,”ujarnya.
Sehubungan itu, Juhih memohon agar penyebaran laporan dan khabar angin berkenaan dihentikan segera.
Sejak kelmarin, tersebar berita bahawa Tun Abdul Taib kini berada dalam keadaan koma di Hospital Umum Sarawak. – nasionalkini.my