in

Boleh tunai solat Jumaat di surau SK Senderut mulai hari ini

KUANTAN, 11 Ogos – Surau As Syakirin Sekolah Kebangsaan (SK) Senderut, dekat Lipis sudah memperoleh kebenaran mengadakan solat Jumaat, bermula hari ini.

Perkara itu dikongsi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melalui hantaran di laman sosial Facebook miliknya pagi tadi.

“Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana pada hari yang penuh kemuliaan dan keberkatan ini, masyarakat Islam di kawasan Orang Asli Pos Senderut, Lipis sudah boleh melaksanakan solat Jumaat di Surau As Syakirin Sekolah Kebangsaan Senderut, bermula hari ini.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan usaha murni ini terutamanya Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) serta Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang memberi kebenaran kepada surau ini untuk melaksanakan solat Jumaat berdasarkan syarat ditetapkan,” katanya.

Wan Rosdy berharap dakwah Islam akan diteruskan kepada masyarakat Orang Asli di kawasan dewan undangan negeri Jelai dari semasa ke semasa.

Ini adalah bagi membuka ruang kepada lebih ramai lagi mendapat hidayah daripada Allah SWT.- nasionalkini.my

Pengutip tin rayu bantuan untuk anak angkat

Ancaman orang berhutang, katanya juga dusta