Oleh: AD Zafir
KUANTAN, 20 Julai – Kejadian 75 ekor kambing dan biri-biri di baham harimau kumbang sejak dua minggu lalu itu menimbulkan kebimbangan dan keresahan penduduk Kampung Batu Hitam, di sini.
Kejadian berkenaan turut mengakibatkan penternak mengalami kerugian sehingga RM80,000.
Pemilik kandang kambing biri-biri, Azmi Manan, 62, berkata, binatang buas itu dipercayai memasuki kebunnya pada sebelah malam dan kesan kehadirannya diketahui melalui penemuan kesan tapak kaki.
Menurutnya, kejadian haiwan ternakan dibaham harimau merupakan yang pertama berlaku di kampung berkenaan.
“Pada sebelah paginya pada hari kejadian kira-kira dua minggu lepas, saya pergi ke kandang biri-biri untuk bagi makan tetapi terkejut melihat semuanya sudah menjadi bangkai.
“Ada yang mati, ada yang kena cakar dan ada yang digigit dileher serta banyak juga yang cedera.
“Untuk mengesahkannya, kami panggil Jabatan Perhilitan dan mereka telah mengesahkan haiwan yang menyerang itu adalah sejenis harimau,” katanya yang kehilangan sebanyak 40 ekor jenis biri-biri setakat ini, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, seorang lagi penternak Wan Mohd Suffian Wan Mohamed, 47, berkata, dia mengesyaki kehadiran harimau kumbang itu selepas melihat keadaan bangkai ternakan kambingnya yang dibaham di bahagian organ sahaja.
Jelasnya lagi, lebih kurang tiga kali serangan daripada harimau kumbang itu hingga mengakibatkan kira-kira 35 ekor kambingnya mati.
“Pada mulanya saya ingatkan anjing liar tetapi apabila berulang sebanyak tiga kali sampai habis tinggal hanya enam ekor kambing baharu saya tahu, itu adalah harimau.
“Ada jiran sebelah (Azmi) yang pelihara kambing di situ memberitahu apa yang saya lihat itu adalah kerja harimau. Kemudian saya menelefon Perhilitan dan bertanya tentang ciri-ciri haiwan yang dibaham harimau,” katanya.
Sementara itu, Penghulu Mukim Beserah, Nasaruddin Ahmad berkata, penduduk terlibat telah membuat laporan kepada Jabatan Perhilitan berkaitan perkara tersebut dan telah hadir dengan segera ke lokasi untuk melihat keadaan sebenar.
Katanya, pihak jabatan telah pun menempatkan perangkap binatang buas beberapa hari lalu untuk mendapatkan harimau kumbang itu.
“Pihak jabatan percaya harimau kumbang itu akan datang semula memandangkan masih ada lagi haiwan ternakan (sumber makanan) di kawasan tersebut. – nasionalkini.my