Oleh Luth Adwa
ISKANDAR PUTERI, 30 Jun – Hasrat seorang remaja berusia 17 tahun melihat hasil tangkapan ketam menerusi jaring dipasangnya tidak kesampaian apabila dia maut dipanah di Pulau Merambong di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 8.15 pagi ketika hujan lebat, mangsa bersama bapanya menaiki bot untuk mengambil jaring yang dipasang.
Ketua Polis Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, difahamkan, ketika kejadian mangsa sedang mendapatkan pelampung untuk menarik jaring yang dipasang sehari sebelum ini.
“Ketika kejadian, hanya mangsa bersama bapanya yang berusia 60 tahun berada dalam bot berkenan.
“Bapa mangsa tidak cedera, namun tercampak ke hujung bot berdekatan enjin tetapi masih mampu menyelamatkan anaknya itu dengan menarik tangan remaja terbabit.
“Mereka kemudian dibantu nelayan yang berada berhampiran tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Rahmat berkata, remaja yang tidak bersekolah dan bekerja sebagai nelayan itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – nasionalkini.my