PETALING JAYA, 6 Mei – Polis menahan seorang wanita kerana membuat kenyataan berunsur hasutan terhadap Sultan Perak dalam satu video di laman sosial TikTok.
Setiausaha Polis Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, wanita berusia 34 tahun itu ditangkap di satu kawasan tempat letak kereta di Klang, semalam.
“Suspek disyaki memuatnaik video mengandungi kenyataan berunsur hasutan terhadap Sultan Perak di akaun TikTok pada 1 Mei lalu,” katanya dalam satu kenyataan dipetik dari FMT.
Katanya, polis turut merampas satu telefon bimbit jenis Vivo Y15A dan dua keping kad SIM daripada suspek.
Menurutnya, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian terhadap raja atau kerajaan.
“Kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya.
Katanya, permohonan reman terhadap wanita itu akan dibuat hari ini. – nasionalkini.my