in

Darurat COVID-19 berakhir secara rasmi

20230506 070816
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus - Gambar oleh RT.com

LONDON, 6 Mei – COVID-19 tidak lagi dikategorikan sebagai kecemasan kesihatan global, umum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) lewat malam tadi.

Ia sekali gus menjadi langkah besar menuju pengakhiran wabak pandemik yang sudah membunuh lebih 6.9 juta orang, selain mengancam ekonomi dan komuniti sejagat.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata syor itu diputuskan dalam pertemuan Jawatankuasa Kecemasan kali ke-15.

“Semalam, pertemuan Jawatankuasa Kecemasan untuk kali ke-15 mengesyorkan kepada saya untuk isytihar penamatan kecemasan kesihatan awam bagi kebimbangan antarabangsa.

“Saya menerima nasihat berkenaan, oleh itu dengan penuh harapan saya mengisytiharkan penamatan COVID-19 sebagai kecemasan kesihatan global,” katanya, lapor Reuters.

Jawatankuasa kecemasan WHO pertama kali mengisytihar COVID-19 pada tahap amaran tertinggi selama lebih tiga tahun lalu, bermula 30 Januari 2020.

Status itu membantu menumpukan usaha antarabangsa sewaktu ancaman kesihatan serta mengukuhkan kerjasama berkait vaksin dan rawatan.

Berikutan pengumuman itu, ia sekali gus menandakan kemajuan dunia yang dikecapi dalam bidang berkenaan walaupun menurut WHO, COVID-19 akan kekal dalam komuniti, tetapi ia tidak lagi tergolong sebagai kecemasan.

Mengikut data WHO, kadar kematian merekodkan trend perlahan berbanding pada waktu puncak iaitu membabitkan lebih 100,000 orang seminggu pada Januari 2021, kepada lebih 3,500 seminggu sehingga April lalu.

“Namun, itu tidak bermakna COVID-19 sudah berakhir sebagai ancaman kesihatan global,” kata Ghebreyesus.

WHO tidak mengisytiharkan permulaan atau akhir wabak walaupun badan antarabangsa itu sudah mula menggunakan istilah COVID pada Mac 2020.

Tahun lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, berkata wabak itu sudah berakhir.

Seperti beberapa negara lain, AS dianggap kuasa ekonomi terbesar dunia mula merombak keadaan kecemasan domestiknya berkait COVID-19.

Ia bermaksud, negara itu akan berhenti membayar untuk hal seperti vaksin. – nasionalkini.my

belang

Penduduk Setiu ketakutan, enam ekor lembu dibaham Pak Belang

logo polis 2 1651832730

Polis tahan wanita guna TikTok buat video hasutan