KUALA LUMPUR, 9 Mei – Peserta di program bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah kompenan Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) dijangka akan keluar daripada garis kemiskinan dalam masa dua tahun.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, beliau berharap agar peserta dapat mencari model perniagaan yang lain termasuk membuka warung selepas menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan.
Ia bagi membolehkan lebih ramai peserta menyertai inisiatif berkenaan sekali gus menjana pendapatan tambahan.
“Kita berharap setelah mereka berjaya meraih RM2,000 sebulan mereka beralih kepada modal perniagaan lain seperti warung sendiri dan memberi peluang kepada pemohon lain untuk menjana pendapatan.
“Mereka diberikan kemudahan sewa percuma selama dua tahun untuk mereka memasarkan produk makanan siap masak kepada pelanggan, justeru ia memudahkan mereka,” ujarnya ketika melancarkan mesin layan diri IPR di KL Sentral di sini, hari ini.
Sementara itu, ditanya langkah kerajaan jika lokasi mesin layan diri di bawah INSAN didapati tidak mencapai sasaran jualan, Rafizi berkata pihaknya sentiasa memantau aktiviti jualan dan trafik pelanggan di setiap lokasi.
“Pemilihan lokasi turut di ambil kira agar ia sesuai untuk diletakkan makanan pada harga yang rendah.
“Kemungkinan bulan lalu tidak mendapat sambutan berikutan bulan Ramadhan dan Hari Raya Aidilfitiri,” katanya.
Mac lalu, Rafizi memaklumkan kerajaan menyasarkan mesin berkenaan dapat diperluas kepada 5,000 penerima di bawah inisiatif INSAN pada tahun ini.
Menerusi insiatif INSAN, penerima akan diberikan mesin layan diri di tempat yang telah dipilih dan akan menerima sewaan bulanan serta dibayar terus kepada penyedia mesin layan diri antara RM600 hingga RM800 bergantung kepada jenis mesin. – nasionalkini.my