Yusuf Shafie
MELAKA 1 Mei – Imej antara kawasan pelancongan tertua di Melaka, Gereja St Paul di Bukit St Paul, Banda Hilir di sini terjejas susulan kerosakan pada lantai jubin di luar gereja berusia lebih 500 tahun itu.
Rata-rata mereka yang ditemui berkata, kerosakan itu walaupun kecil tidak sepatutnya dibiarkan sehingga hampir setahun kerana berisiko menyebabkan kecederaan kepada pelancong, khususnya warga emas dan kanak-kanak.
Pengunjung dari Johor Bahru, Victoria Tiffany anak Lanjan, 21, berkata, dia mengesan sekurang-kurangnya lima kawasan berlaku rekahan dan jubin pecah di luar gereja yang dibina pada tahun 1520 itu.
“Takut bila tengok ada bahagian lantai retak, mungkin berpunca daripada mendapan tanah hingga sebahagian lantai jubin pecah dan membahayakan keselamatan pelancong.
“Saya lihat memang ada kesan baik pulih, tapi ia kembali pecah jadi mungkin kerajaan perlu betulkan keseluruhan kawasan lantai dan bukannya sekadar gunakan kaedah tampal yang tidak tahan lama,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, pengunjung dari Petaling Jaya, Selangor, Adam Danial Azmi, 19, berkata, selain kerosakan pada lantai, pihak berkuasa juga perlu memberi perhatian terhadap dahan pokok tua di kawasan luar gereja yang sudah reput.
“Kalau diamati, banyak dahan pokok dilitupi tumbuhan parasit boleh jatuh bila-bila masa menghempap pelancong.
“Jadi saya harap kerajaan negeri akan memberi perhatian serius terhadap isu ini kerana kita tentu tidak mahu isu sebegini menjejaskan imej pelancongan negeri di mata dunia,” katanya. – nasionalkini.my