KUALA LUMPUR, 5 Jun – Tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahidi yang berseloroh mempelawa ahli-ahli UMNO yang dibuang parti untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 dikritik Ahli Parlimen Sembrong.
Datuk Seri Hishammuddin Hussien yang juga bekas Naib Presiden UMNO itu berkata, tindakan berkenaan jelas menggambarkan pemikiran semasa kepimpinan UMNO yang langsung tidak membantu usaha memulihkan kedudukan parti dalam memenenagi hati ahli.
“Saya pasti ramai yang lebih rindu kepada UMNO yang asal.
“Tidak perlu pelawa ahli yang dibuang ke PAU secara menyindir dan sengaja berseloroh.
“Ini hanya menggambarkan mentaliti dan pemikiran semasa kepimpinan UMNO, tidak membantu langsung usaha memulihkan kedudukan parti dalam memenang hati ahli-ahli di akar umbi,” katanya menerusi Instagram miliknya, hari ini.

Hishammuddin pada masa sama menegaskan, dirinya bersama beberapa ahli yang dibuang parti itu tidak pernah rugi kerana UMNO sudah menetapkan hukuman dengan tidak memerlukan khidmat mereka lagi.
“Yang dibuang tidak rugi kerana parti telah pun menetapkan hukuman, tidak memerlukan khidmat kami lagi.
Yang rugi ialah UMNO yang tekesan dari pelawaan sinikal sedemikian,” katanya.
Sebelum ini, Ahmad Zahid berkata, UMNO sentiasa membuka pintu kepada bekas ahlinya untuk menghadiri PAU walaupun bukan sebagai perwakilan.
Katanya, kehadiran bekas ahli parti keramat Orang Melayu itu boleh menjadi pemerhati di luar dewan ketika perhimpunan berkenaan berlangsung.
UMNO sebelum ini memecat beberapa ahlinya termasuk bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar.
Selain itu, UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain termasuk Hishammuddin dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun. – nasionalkini.my