KUALA LUMPUR 30 April – Sebuah premis di kawasan Perindustrian Gurun di Kedah diserbu pihak berkuasa Dan menyita Sebanyak 2,730 liter diesel dalam operasi Ops Tiris, semalam.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd Yusof berkata, dalam operasi itu, satu kes berkaitan penyeludupan diesel bersubsidi dikesan dan diambil tindakan PDRM melalui pasukan khas dari Bukit Aman.
“Selain merampas diesel terbabit, pihak berkuasa menahan tiga suspek yang merupakan warga tempatan berumur dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun.
“Dua lori bernombor pendaftaran tempatan turut disita untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata, KPDN menjalin kerjasama dengan semua agensi penguatkuasaan seperti PDRM, Angkatan Tentera Malaysia Dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam setiap operasi termasuk Ops Bersepadu dan Ops Tiris.
Antara barangan lain yang disita kerana disyaki digunakan untuk penyelewengan diesel adalah empat unit skid tank.
“Anggaran nilai rampasan keseluruhan adalah sebanyak RM33,869.50 dan kesemua suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Katanya, siasatan dijalankan dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 terhadap kesemua suspek terlibat.
dalam pada itu, pihaknya memberi amaran keras dan tidak akan berkompromi dengan mana- mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket serta aktiviti penyelewengan barang-barang kawalan tersebut. -nasionalkini.my