in ,

Op Jamin diteruskan atasi kekurangan beras – Zahid

Gambar sumber media sosial Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi 1
Gambar sumber media sosial Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA: Penguatkuasaan bersepadu melalui Op Jamin akan diteruskan agar kekurangan bekalan beras negara dapat diatasi segera dan dipulihkan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Op Jamin yang bermula 7 Julai lalu melakukan 37 pemeriksaan, membabitkan 2,322 kilang, premis borong dan runcit di seluruh negara, dengan 142 aduan diterima melibatkan isu bekalan serta harga beras.

“Antara aduan yang banyak diterima berkaitan jurang harga yang sangat tinggi di antara beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI).

“Ini menyebabkan peniaga dan pengusaha kedai makanan beralih kepada BPT sebagai pilihan beras yang murah hingga menyebabkan bekalan BPT kurang di pasaran, lebih-lebih lagi di Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL), di sini hari ini.

Pada 7 Julai lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bekerjasama bagi menjalankan Op Jamin bertujuan menguat kuasa dan memantau bekalan beras di seluruh negara.

Ahmad Zahid berkata, pada mesyuarat itu, beliau turut berpandangan bahawa stok penimbal beras negara hanya perlu digunakan bersama stok beras semasa sekiranya situasi bekalan beras dalam negara tidak dapat dipulihkan dalam masa terdekat.

“Saya juga menegaskan agar gerakan bersepadu rentas kementerian terus dilaksanakan, khususnya Jualan Rahmah, Jualan Agro MADANI dan MyGrocer@Wilayah dan diperluaskan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Parlimen di setiap negeri,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata pelbagai inisiatif dan program bagi memastikan ketersediaan dan keberadaan beras tempatan dijalankan kerajaan, antaranya Program Khas BPT yang menyaksikan unjuran tambahan BPT sebulan sebanyak 23,000 tan.

Katanya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan FELCRA pula diberi tanggungjawab untuk membekalkan beras di kawasan mengalami gangguan dan melancarkan talian hotline untuk pengguna melaporkan isu, masalah berkaitan bekalan serta penyelewengan beras.

Mengenai bekalan ayam dan telur ayam, Ahmad Zahid berkata, KPKM telah diarah agar jaminan terus diberikan bagi ketersediaan bekalan dan kestabilan harga ayam dan telur ayam di peringkat ladang untuk memastikan keberadaan bekalan itu di peringkat borong serta runcit.

“KPDN juga akan memastikan kekerapan pemantauan penguatkuasaan terhadap harga dan bekalan sepanjang masa,” katanya.
Menerusi mesyuarat itu juga, beliau turut mencadangkan semua agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), khususnya Lembaga Kemajuan Wilayah untuk memulakan penanaman kekacang (legum) bagi mengurangkan kos import makanan ayam.

Menurutnya, cadangan berkenaan telah dibincangkan di Sabah dan Sarawak untuk tujuan penggunaan tanah negeri dan telah dipersetujui untuk diwujudkan jalinan kerjasama pintar KPKM bagi memastikan harga dan bekalan ayam sentiasa stabil.

Legum adalah tumbuhan dari kumpulan ‘fabaceae’ atau buah yang tumbuh secara agrikultur, digunakan sebagai makanan manusia, ternakan dan baja hijau untuk meningkatkan kesuburan tanah.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan telah membelanjakan kira-kira RM3.77 bilion untuk subsidi ayam dan telur ayam bagi memastikan bekalan dan harganya kekal stabil bagi tempoh 2022 hingga 2023. – BERNAMA

2352893

Dua ditahan terlibat aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi

9f0ea501 0f37 41a3 b625 3a7c99b0cc26

Warga maya teruja lihat foto putera sulung Tengku Mahkota Kelantan