Oleh Luth Adwa
PONTIAN, 14 Julai – Pendapatan sehingga RM12,000 sebulan berjaya diperoleh Mohd Zaki Abd Jamil, 37, hanya dengan menjual putu mayam yang merupakan hasil air tangan ibu saudaranya, Kasiah Rashid, 55,.
Biarpun terpaksa menempuh perjalanan sejauh 120 kilometer (km) setiap hari sejak 2018, namun jarak itu tidak menjadi halangan buat Mohd. Zaki demi mencari rezeki untuk menyara keluarganya.
Gaji lima angka diperoleh itu nyata berbaloi apabila pekerjaaan tersebut dilakukannya selepas dia membuat keputusan melepaskan jawatan sebagai eksekutif lima tahun lalu.
Mohd Zaki berkata, setiap hari dia akan memandu kereta jenis Kia Spectra kira-kira 120 km ke lokasi-lokasi tumpuan di Johor Bahru dan Pontian seperti di Bandar Tenggara, Sungai Sayong, Senai, bandar Pontian serta Perling, Johor Bahru untuk menjual putu mayam.
“Kuih ini dibuat oleh emak saudara dan saya pula membantu menjualnya. Jika di Pontian, saya berniaga pada hujung minggu. Jarak lebih 100 km itu sudah biasa sebab kerap berulang-alik,” katanya ketika ditemui.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, seawal pukul 7 pagi dia akan bertolak ke lokasi perniagaan setiap hari dan akan pulang pada pukul 5 petang.
Katanya, setiap hari sebanyak 130 atau 150 bungkus putu mayam habis dijual pada harga RM6 sebungkus.
“Ketepikan ‘glamour’ yang penting dapat menjana pendapatan. Pendapatan yang saya peroleh sekarang dua kali ganda berbanding ketika makan gaji,” katanya. – nasionalkini.my