KOTA BHARU, 2 Mei- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan sudah mengagihkan 250,000 kilogram (kg) gula kepada pasar raya di seluruh negeri ini sejak semalam susulan isu kekurangan stok bahan mentah itu dipasaran sebelum ini.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, agihan itu dilakukan secara berperingkat termasuk kepada pemborong dan peruncit.
“Kami menjangkakan isu kekurangan bekalan gula di pasaran dapat diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh dua hari lagi.
“Kita menyarankan kepada pengguna dan peruncit supaya mendapatkan bekalan mengikut ketetapan dibenarkan,” katanya.
Azman berkata, pengguna tidak perlu membuat pembelian panik kerana bekalan gula dijangka kembali pulih di pasaran dalam masa terdekat.
Media sebelum ini melaporkan kesukaran mendapatkan bekalan gula di sekitar Kelantan memaksa peniaga kedai makan menggantikan bahan mentah itu dengan susu pekat bagi meneruskan perniagaan berasaskan minuman.
Masalah kekurangan gula di pasaran itu diakui oleh segelintir peniaga kedai makan dan ia dikatakan bermula sejak hujung minggu lalu. – nasionalkini.my