BEIRUT: Seorang komander kanan Pasukan Radwan yang merupakan unit elit Hizbullah, dilaporkan terkorban dalam serangan udara Israel di pinggir selatan Beirut, semalam.
Serangan di kubu kuat Hizbullah di Ghobeiri itu adalah yang pertama dalam tempoh hampir sebulan, sekali gus menamatkan tempoh tenang di ibu kota Lubnan itu sejak 8 April lalu.
Sumber yang rapat dengan kumpulan itu mengesahkan kepada AFP bahawa mangsa yang terkorban ialah Malek Ballout, individu yang bertanggungjawab sebagai komander operasi bagi pasukan elit berkenaan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam satu kenyataan mengesahkan operasi itu disasarkan khusus terhadap kepimpinan unit Radwan. Difahamkan, serangan terbabit memusnahkan sebuah apartmen yang sedang digunakan oleh pemimpin kumpulan itu untuk mengadakan mesyuarat.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan siri serangan rejim Zionis di seluruh bahagian selatan dan timur negara itu turut mengorbankan sekurang-kurangnya 11 individu, termasuk kanak-kanak dan wanita di Saksakiyeh.
Situasi di Lubnan kekal tegang meskipun gencatan senjata telah berkuat kuasa sejak 17 April lalu. Data terbaharu menunjukkan sejak konflik memuncak Mac lalu, serangan Israel telah mengorbankan lebih 2,700 nyawa dan menyebabkan sejuta penduduk hilang tempat tinggal.
Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, turut menzahirkan kebimbangan selepas mengesahkan 152 serangan ke atas kemudahan kesihatan di Lubnan yang mengakibatkan penutupan tiga hospital setakat ini.


