in , ,

Curi sawit guna kereta, empat lelaki dicekup

CURI SAWIT

KUALA LANGAT 11 Mei – Taktik empat lelaki tempatan menggunakan kereta untuk mencuri buah kelapa sawit di Kampung Kanchong Darat, Banting, gagal apabila kegiatan mereka ‘dikantoikan’ oleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

​Kesemua suspek yang berusia antara 20 hingga 30-an itu ditahan sepasukan polis pada hari yang sama selepas visual rakaman tersebut mendedahkan perbuatan mereka memunggah tandan sawit ke dalam kereta Proton Saga dan Waja.

​Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, penahanan dibuat hasil maklumat orang awam yang curiga dengan kehadiran kenderaan terbabit di dalam kawasan kebun berkenaan.

​“Hasil semakan CCTV mendapati suspek mencuri buah kelapa sawit dan memasukkannya ke dalam kenderaan tersebut. Selain tangkapan, pihak kami turut merampas tandan sawit yang dilarikan,” katanya di sini hari ini.

​Insiden tersebut sebelum ini tular di media sosial sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan pekebun kecil di kawasan terbabit.

​Mohd. Akmalrizal menegaskan, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan menyeru orang ramai agar terus bekerjasama dengan pihak polis bagi membanteras kegiatan kecurian hasil kebun yang kian meruncing.

IMG 5135

Murid Tahun Enam maut selepas pengsan di sekolah

20260511 014452

‘Kanser abang sangat agresif’ – Safura reda ujian suami