KUALA LUMPUR, 19 Sept. – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat penelitian berhubung dakwaan berlaku kes ‘merampas bayi’ di sebuah hospital kerajaan di Sabah baru-baru ini.
Menurut Menterinya, Dr Zaliha Mustafa, insiden sedemikian tidak sepatutnya berlaku di mana-mana fasiliti kesihatan, sama ada awam mahupun swasta.
“Saya bersetuju, perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku di hospital khususnya hospital kerajaan. Bagi saya, pendekatan ‘No Wrong Door Policy’ yang kita laksanakan, perlu kita laksanakan baik-baik.
“Saya setuju untuk perkara ini, kita perlu buat penelitian dan perlu juga laporan polis yang sedang dilaksanakan itu, kita lihat macam mana keputusannya.
“Buat sementara waktu, saya akan buat penambahbaikan dan perlu bertemu dan bersemuka dengan petugas-petugas kita di hospital tersebut untuk mendapatkan maklumat lanjut dan melakukan penambahbaikan. Perlu ada empati apabila kita melaksanakan tugas-tugas kita yang berkaitan penyampaian kesihatan,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab celahan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) ketika penggulungan perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Dr Kelvin bangkit meminta pandangan kementerian berhubung isu berkenaan susulan laporan bahawa bayi telah dirampas daripada ibunya kerana dakwaan tidak memiliki dokumen. – nasionalkini.my