Oleh AD Zafir
KUANTAN, 5 Julai – “Azizah dan keluarganya memang sentiasa bersama-sama. Boleh dikatakan ke mana sahaja Azizah pergi selalunya dia akan membawa sekali anak-anaknya bersama,” demikian ujar jiran kepada mangsa lemas kepala air di Jeram Mawar, Kampung Pasir Putih, Kemaman, Terengganu, Sabtu lalu.
Kehilangan Azizah Eiyi, 40, dan lapan ahli keluarganya amat dirasai jiran tetangga khususnya di Blok 4, Felda Lepar Hilir 3, di sini.
Jirannya itu yang dikenali sebagai Minah Leman, 64, berkata, Azizah dan anak-anaknya setiap hari akan ke rumah ibu bapanya di Blok 4 dan mereka sekeluarga akan pulang ke rumah sewa mereka hanya untuk tidur.
“Mereka sentiasa bersama malahan jika keluar berjalan pun mereka sekeluarga akan pergi beramai-ramai. Cuma kali ini, tidak sangka adik-beradik dan ibu bapa Azizah tidak ikut sama ke jeram itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Bercerita lanjut, katanya lagi, kehilangan Azizah sekeluarga begitu terkesan lebih-lebih lagi anak-anaknya sering ke gerainya untuk membeli makanan.
“Sekali mereka (anak-anak Azizah) datang memang sangat meriah. Mereka juga sering datang membeli sarapan dan akan beli dalam jumlah yang banyak memandangkan mereka mempunyai keluarga besar,” katanya.
Dalam pada itu, katanya lagi, anak sulung Azizah, Puteri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, disifatkan sebagai seorang anak yang sangat rajin membantu ibu bapanya.
“Kerana tidak lagi mahu sambung belajar, Puteri Balqis yang biasa kami panggil kakak, ditugaskan bapanya untuk mengambil adik-adiknya pulang dari sekolah.
“Bukan itu sahaja, Puteri Balqis juga turut mengambil upah mengambil dan menghantar anak-anak jiran ke sekolah,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi jirannya, Junaidah Mat Isa, 38, berkata, dia mengenali Azizah yang dipanggilnya ‘Endut’ sejak dari kecil.
Katanya, kehilangan Azizah akan lebih dirasai nanti apabila tibanya Aidilfitri akan datang.
“Azizah sekeluarga kebiasaanya datang berpakaian sedondon dan menjadi keluarga pertama bertandang ke rumah saya setiap kali Aidilfitri.
“Itu antara kenangan yang pada saya tidak dapat dilupakan dan akan terasa kesunyiannya apabila menjelangnya Aidilfitri tahun hadapan,” katanya.
Tambahnya lagi, selain daripada itu, penduduk kejiranan di situ sering melihat anak-anak Azizah bermain di kawasan rumah Blok 4 itu.
Semalam, jenazah Azizah, Puteri Balqis Izzati dan lima lagi ahli keluarga iaitu Karim Abdullah, 39, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya Karim, 10, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4, telah selamat dikebumikan dalam satu liang lahad sekitar jam 11.52 malam. – nasionalkini.my