IPOH, 3 Ogos – Kejam dan tidak berperikemanusian.
Itu yang boleh dikatakan apabila melihat keadaaan seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang ditemui dengan kesan cedera di seluruh badannya di sebuah rumah pangsapuri di Taman Menglembu Impiana Adril, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, penemuan kanak-kanak lelaki terbabit diadukan oleh seseorang individu kira-kira jam 4.30 petang semalam.
Katanya, siasatan awal polis mendapati terdapat kesan kecederaan di seluruh badan kanak-kanak itu yang ketika dijumpai ditinggalkan berseorangan dalam rumah berkenaan.
“Orang awam yang juga saksi kes itu menemui mangsa dalam keadaan kelaparan dan terdapat kesan kecederaan di seluruh badannya. Mangsa ditinggalkan seorang diri di rumah itu dengan keadaan pintu jeriji rumah berkunci ketika penjaganya keluar bekerja.
“Kanak-kanak itu meminta makanan daripada orang awam yang berjalan lalu di depan rumah diduduki mangsa, orang awam melibat kesan cedera pada badannya.
“Difahamkan, sebelum keluar bekerja, penjaga kanak-kanak itu hanya meninggalkan roti dan serbuk minuman bercoklat di rumah itu untuk dibekalkan kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, polis kemudian ibu kandung mangsa berumur 23 tahun dan teman lelakinya berumur 26 tahun di pangsapuri berkenaan kira-kira jam 7 petang semalam.
“Kedua-dua suspek direman lima hari bermula hari ini hingga Isnin depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya. – nasionalkini.my