JOHOR BAHRU, 2 Ogos – Jabatan Alam Sekitar akan perluaskan operasi mengenal pasti punca pencemaran bau yang dikesan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiram dan Sekolah Agama Ulu Tiram pada Selasa termasuk di kawasan kilang dan perumahan komersial.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K Raven Kumar berkata, ini berikutan hasil ujian daripada sampel yang diambil di enam kilang yang kedudukannya berhampiran dua sekolah bukan punca pencemaran bau.
“Operasi ini akan dilakukan selama seminggu. Usaha ini dilakukan selepas pihak JAS melakukan pemeriksaan dan pemantauan di kilang, sungai, tapak pelupusan dan kawasan berhampiran dua sekolah.
“JAS juga mendapati bacaan dan kualiti air serta udara di situ adalah normal dan tiada lagi bau busuk,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian hari ini.
Sebelum itu beliau melakukan lawatan ke SK Ulu Tiram dan sebuah kilang yang menjalankan aktiviti menyimpan serta memproses minyak sawit enapcemar atau sludge plam oil (SPO) di Kampung Sungai Redan.
Pada petang Selasa, seramai 28 murid, guru, kerani dan pekerja kantin di dua sekolah terbabit mengalami pening dan muntah-muntah akibat pencemaran bau dipercayai daripada bahan kimia dengan tiga daripadanya dikejarkan ke klinik kesihatan.
Mengulas lanjut, Raven berkata, jumlah mereka yang terkesan dengan pencemaran tersebut semuanya 39 orang pada Selasa dan Rabu yang turut melibatkan penduduk setempat. – nasionalkini.my