in ,

Kakak hamil dan adik angkat perempuan didakwa curi duit tabung surau

IMG 20230628 WA0049
Puteri Norazila (belakang) dan Nur Hidayah (depan) dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka, hari ini ini atas pertuduhan mencuri duit tabung surau berjumlah RM300 April lalu.

Oleh Yusuf Shafie

AYER KEROH, 28 Jun – Seorang wanita hamil lapan bulan dan adik angkat perempuannya didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencuri duit tabung surau berjumlah RM300 April lalu.

Tertuduh, Puteri Norazila Paimen@Mohamed Inson, 32, yang mengandung lapan bulan bagaimanapun mengaku tidak bersalah, manakala adik angkatnya, Nur Hidayah Abdullah, 24, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat curang telah mencuri wang tabung surau bernilai RM300 di Surau Al-Hidayah, Taman Pertam Jaya, dalam daerah Melaka Tengah
kira-kira pukul 1.50 petang 7 April lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudian tertuduh boleh dikenakan penjara dan bolehlah juga dikenakan denda atau sebat.

Mengikut fakta kes, tertuduh secara bersama-sama menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dilihat telah memasuki ruangan jemaah lelaki dan mengumpil sebuah tabung diletakkan di hadapan pintu masuk surau.

Kedua-dua tertuduh kemudian dilihat keluar dan meninggalkan lokasi dengan menunggang motosikal jenis SYM.

Terdahulu, Peguam Ng Fun Boon memohon hukuman ringan terhadap Nur Hidayah dengan alasan anak guamnya itu mempunyai empat orang anak termasuk seorang sedang menerima rawatan di hospital.

Beliau turut meminta jaminan rendah diberikan kepada Puteri Norazila dengan mengambil kira tertuduh kini sedang sarat mengandung hampir lapan bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal diberikan terhadap Nur Hidayah dan mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 terhadap Puteri Norazila.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman Nur Hidayah dipenjara empat bulan daripada tarikh ditangkap iaitu 17 Jun lalu dan denda RM1,000 atau satu bulan penjara jika gagal bayar.

Manakala kakak angkatnya pula dikenakan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 31 Julai depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. – nasionalkini.my.

IMG 20230628 WA0048

Cubaan seludup 18 tan beras bernilai RM100,000 dari Singapura gagal

IMG 20230628 WA0058

‘Kami tak mampu sediakan RM100,000’