KUALA LUMPUR, 25 Mei – Bilangan Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar yang berdaftar telah berkurang daripada 124,744 kepada 118,217 dalam tempoh 15 Disember tahun lalu sehingga 15 Mei lepas.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, manakala KIR miskin berdaftar pula berkurang daripada 304,911 KIR kepada 299,080 dalam tempoh yang sama.
“Situasi pasaran buruh negara bertambah baik sejak negara memasuki fasa peralihan ke endemik.
“Kadar pengangguran bagi bulan Mac 2023 telah menurun kepada 3.5 peratus berbanding 5.3 peratus pada bulan Mei 2020. Pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada tahun 2022 telah membantu menyokong pemulihan dalam pasaran buruh,”ujarnya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman yang ingin tahu kemajuan yang telah dicapai kerajaan untuk mengurangkan kadar kemiskinan dan menghapuskan kemiskinan tegar sejak enam bulan yang lalu.
Menurut Hanifah, sebanyak 82,892 peserta telah berdaftar bagi Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) sehingga 22 Mei lalu.
“IPR menumpukan kepada pengupayaan golongan B40 bagi meningkatkan potensi pendapatan secara mampan. Sejumlah RM750 juta ringgit telah disediakan untuk tahun 2023,” ujarnya. -nasionalkini.my