BAYAN LEPAS, 21 Julai – Hasrat beberapa ahli perniagaan termasuk bergelar Datuk untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lalu tidak kesampaian malah kerugian RM32 juta diperdaya seorang pengarah syarikat.
Mangsa yang juga bekas calon Bebas di Melaka, Datuk Kamisan Palil, 38, berkata, beliau bersama beberapa rakan berjumpa dengan individu berkenaan yang kononnya meminta mereka bertanding di beberapa kerusi Parlimen di Melaka.
Katanya, individu itu mendakwa segala kos pertandingan akan ditanggung olehnya dan bagi persiapan pertandingan di Parlimen Jasin, beliau menggunakan wang sendiri berjumlah RM150,000 sebagai pendahuluan.
“Saya menghubungi individu itu semula namun semua panggilan tidak dijawab malah dia turut mengundur diri dalam semua grup aplikasi WhatsApp. Akibatnya, nama serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diuruskan saya terpalit dengan kerjasama penubuhan parti itu,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro hari ini.
Terdahulu, lima individu tampil membuat laporan menjadi mangsa penipuan seorang pengarah syarikat di Balai Polis Bayan Baru di sini, semalam.
Mereka mendakwa lelaki bergelar Datuk itu menjanjikan peruntukan RM4.5 juta kepada setiap calon kerusi Parlimen.
Difahamkan seramai 160 calon terpedaya dengan individu itu membabitkan kerugian sekurang-kurangnya RM200,000 seorang.
Sementara itu, Mohamed Mahyuddin Tajuddin, 63, pula mendakwa dia kerugian sebanyak RM500,000 akibat diperdaya pengarah syarikat itu berhubung pelantikan wakil rakyat di Hulu Selangor.
Katanya, dia juga dilantik sebagai timbalan penaja parti dan mengikut individu berkenaan ke seluruh negara bagi pelaksanaan kerjasama itu. – nasionalkini.my