Oleh Yusuf Shafie
ALOR GAJAH, 19 Mei – Seorang guru lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Gajah, di sini hari ini atas pertuduhan melakukan jenayah seksual terhadap kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dan memiliki video lucah, dua tahun lalu.
Tertuduh berusia 39 tahun membuat pengakuan itu sejurus tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah berkomunikasi secara seksual dengan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun ketika kejadian melalui aplikasi WhatsApp.
Kesalahan itu dilakukan di Batu 16, Kampung Pegoh, di sini pada pukul 10.53 pagi 30 Jun 2021.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tiga tahun mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama dengan cara meraba punggungnya menggunakan tangan bagi tujuan seksual.
Kesalahan yang boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 14(a) AKSTK 2017 dan boleh dihukum di bawah akta sama itu dilakukan kira-kira pukul 9.40 pagi 25 November 2021 di sebuah sekolah rendah di Pegoh, Alor Gajah.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 14(a) AKSTK 2017 dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.
Tertuduh turut berdepan hukuman tiga tahun penjara atau denda atau kedua-duanya di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana menyimpan video lucah di dalam telefon bimbit miliknya.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah bernombor di Taman Bukit Tambun Perdana dalam daerah Alor Gajah kira-kira pukul 12.30 tengah malam 2 Disember 2021.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin bercagar.
Tertuduh juga tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai dan kes akan disebut semula 19 Jun ini. – nasionalkini.my