IPOH, 31 Julai – Polis menahan empat lelaki dan merampas dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat lebih 72 kilogram (kg) dengan nilai lebih RM2.5 juta, dalam dua serbuan berbeza di sekitar bandaraya ini, Khamis lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dua suspek berumur 25 dan 36 tahun ditahan di kawasan perumahan Klebang Tropika, di sini dengan hasil pemeriksaan dalam sebuah kereta menjumpai methamphetamine dianggarkan seberat 72.4kg bernilai RM2.53 juta.
“Tangkapan pada jam 5 petang itu membawa kepada penahanan dua lagi lelaki berumur 30 dan 40 tahun dalam serbuan terhadap sebuah rumah di Kampung Rapat, yang dipercayai turut terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah itu,” katanya seperti dilaporkan BH hari ini.
Katanya, saringan awal air kencing ke atas empat suspek berkenaan mendapati hanya suspek berumr 30 tahun sahaja positif dadah jenis sama.
Kesemua suspek juga dikesan mempunyai rekod lampau membabitkan kes jenayah serta dadah.
“Berdasarkan siasatan, sindiket dipercayai mula aktif dengan pengedaran dadah sejak awal Mei lalu. Selain rampasan dadah, tindakan juga diambil dengan menyita dua kereta, sebuah motosikal, seutas rantai keemasan, dan sepasang subang keemasan dengan nilai sitaan harta RM74,267,” katanya. – nasionalkini.my