IPOH, 2 Jun – Dua beradik bersama tiga rakan terlepas hukuman gantung selepas dakwaan membunuh seorang lelaki lima tahun lalu dipinda kepada membunuh tanpa niat di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Jumaat.
Sinar Harian melaporkan, Pesuruhjaya Kehakiman, Su Tiang Joo membenarkan meminda pertuduhan tertuduh, C Sathis, 29; adiknya, Kartik Krishnan, 24 bersama tiga lagi lelaki, J Jaya Ganesh, 25; A Arjun, 26, dan V Sivabalan, 24; daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 304 (a) kanun sama.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun ke atas kelima-lima tertuduh dari tarikh tangkapan iaitu pada 18 Mei 2018.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mencapai niat bersama membunuh Chung Thian Keong, 54, di tepi sungai berhampiran Kampung Baru Chenderong, Jalan Tanjung Tualang dalam daerah Batu Gajah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam lebih kurang 7 malam 17 Mei 2018 hingga 7 pagi 18 Mei 2018. – nasionalkini.my