ALOR SETAR, 13 Ogos – Barisan Nasional (BN) Kedah akur dengan kekalahan parti itu di negeri berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berakhir semalam.
Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata ini adalah adat pertandingan, ada yang kalah dan ada yang menang.
“Kita akur dan menerima kekalahan ini kerana inilah adat pertandingan. Akan ada pihak yang kalah dan ada yang menang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam PRN semalam, BN tidak memenangi sebarang kerusi manakala PN menang 33 dan Pakatan Harapan (tiga). Sebanyak 36 kerusi di pertandingkan bagi negeri ini.
Mahdzir berkata, BN tetap berlapang dada dan menghormati keputusan rakyat Kedah yang menolak untuk meletakkan kepercayaan di tangan Kerajaan Perpaduan bagi mentadbir negeri.
Beliau turut menasihatkan semua ahli UMNO dan BN Kedah untuk tidak menyalahkan mana-mana pihak atas kekalahan pada PRN kali ini. – nasionalkini.my