KEMAMAN, 7 Ogos – Sudah jatuh, ditimpa tangga.
Itu peribahasa tepat mengambarkan nasib dialami seorang bapa yang kini terlantar akibat kencing manis dan darah tinggi dan dalam masa yang sama anaknya turut menghidap penyakit sistemik lupus eritematosus (SLE).
Menurut Rosli Ali, 57, anaknya Nurnajwa, 19, yang merupakan pelajar Tingkatan Enam (Atas) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang terpaksa berhenti sekolah buat sementara waktu akibat ulser pada mulut, sakit saraf dan rambut gugur.
Katanya, Nurnajwa kini tidak mampu berjalan dengan baik dan terpaksa tidur di ruang tamu rumah mereka di Taman Seri Mekar, Tok Kapor, Binjai di sini kerana tidak berupaya naik ke biliknya di tingkat atas.
“Selama ini saya terlantar sakit dibantu anak. Tak sangka pula kini dia pula yang ditimpa sakit dan perlukan bantuan serta sokongan,” ujar Rosli ketika ditemui Sinar Harian.
Menurut Rosli, anaknya kini bergantung dengan susu Hevisure Gold berharga RM130 setin (400 gram).
“Susu tu perlu diminum dua kali sehari untuk melegakan kesakitan ulser dalam mulut dan sakit saraf. Pengambilan susu ini juga atas nasihat doktor pakar HSNZ (Hospital Sultanah Nur Zahirah),” katanya.
Rosli yang juga komposer lagu Mencari Sinar yang dipopularkan oleh kumpulan Lefthanded kini juga terlantar sakit akibat penyakit kencing manis dan darah tinggi yang dihidapinya sejak 12 tahun lalu.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh hubungi Rosli Ali di talian 012-516 5672. – nasionalkini.my