Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 16 Mei – Kerajaan negeri Melaka akan memperkenalkan Anugerah Seri Melaka, (ASM) bagi meraikan tokoh anak negeri yang berjaya dan menyumbang khidmat bakti mereka di peringkat nasional dan dunia.
Ketua Menterinya Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, anugerah tersebut akan diberikan kepada anak kelahiran Melaka yang mendapat pendidikan awal di negeri itu, seterusnya menjadi ikon dalam kategori masing-masing seperti sukan dan hiburan.
“Mereka ini mesti telah melalui proses pendidikan awal bermula dari sekolah tempat mereka dilahirkan tapi kategori itu saya akan berikan syarat-syaratnya.
“Mungkin sekolah yang bermula pengajiannya dari tahun 1990-an yang sekarang mungkin mereka berada dalam persada perkhidmatan awam, kumpulan profesional, ahli perniagaan, sukan dan artis.
“Banyak artis-artis, nama-nama besar datang dari Melaka yang kita akan beri Anugerah Seri Melaka mengikut kategori…ikon tersebut akan dipilih oleh sebuah jawatankuasa di peringkat Dewan Undangan Negeri sebelum dinilai jawatankuasa lain di peringkat negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Malam Anugerah Hari Guru 2023 yang turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini malam tadi.
Jelasnya, nama ikon yang berjaya mendapat anugerah tersebut seterusnya akan dipamerkan di semua sekolah di Melaka bagi memberi inspirasi kepada pelajar untuk mencontohi tokoh berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan Ab Rauf berkata, kerajaan negeri juga akan melestarikan sejarah sekolah di Melaka dengan mengangkat nama institusi pendidikan berasaskan nama tokoh tersohor.
“Ketika ini terdapat 29 sekolah menengah dan 13 sekolah rendah dikenal pasti berasaskan nama tokoh kelahiran Melaka, justeru pihak sekolah digalakkan menjalankan kajian terperinci berkaitan tokoh berkenaan di sekolah masing-masing.
“Mereka diberi tempoh sehingga akhir tahun untuk menyiapkan kajian dan kerajaan negeri akan memberi ganjaran wang tunai sebanyak 5,000 ringgit kepada sekolah yang berjaya melakukan kajian terperinci tersebut,” katanya.
Tambahnya, hasil kajian itu juga tambahnya, akan dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar turut dilaksanakan di negeri-negeri lain. – nasionalkini.my


