KUALA LUMPUR, 21 Julai – Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dan kedua di kawasan perairan negara yang berisiko kepada aktiviti laut.
Menurut satu kenyataan, bagi Seksyen A untuk perairan negara, METMalaysia mengeluarkan amaran kategori pertama iaitu angin kencang barat berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter (m).
“Ia dijangka di kawasan perairan Sabah Barat dan Labuan sehingga esok yang mana keadaan itu adalah berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.
“Bagi Seksyen B untuk perkapalan amaran itu dikeluarkan bagi kategori kedua iaitu angin kencang barat berkelajuan 50 hingga 60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5m dijangka di kawasan perairan Phuket sehingga Jumaat.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” menurut kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu lagi, amaran sama turut dijangka di timur laut Samui, utara Condore, Reef North, utara Reef South, Layang-Layang, Labuan dan Palawan sehingga Jumaat ini.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” kata kenyataan itu. – nasionalkini.my