ALOR SETAR, 4 Mei – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar menuntut Menteri Besar Kedah menyegerakan bayaran saman fitnah terhadapnya yang berjumlah RM120,000 serta beberapa kos tambahan lain.
Beliau tidak teragak-agak untuk memfailkan notis kebankrapan kepada Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sekiranya masih melengahkan bayaran berkenaan.
“Saya kena minta peguam saya untuk bertindak membuat tuntutan itu atau saya akan tunggu nasihat daripada peguam sama ada nak failkan kebankrapan ke atasnya atau sita harta beliau yang berjumlah RM120,000.
“Itu saya hanya tunggu sajalah apa nasihat peguam yang boleh saya lakukan,” katanya.
Mahfuz yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), berkata, sepatutnya ADUN Jeneri itu tidak perlu menunggu lebih daripada tempoh itu.
Sebaliknya, perlu patuhi keputusan mahkamah, termasuk membuat permohonan maaf.
Mahfuz juga menyifatkan tindakan Muhammad Sanusi untuk berbincang dengan peguam sebagai tidak relevan.
“Boleh pindahkan terus secara dalam talian dan kongsi di WhatsApps, kemudian buat permohonan maaf. Jadi selesai.
“Tak perlu lagi melalui peguam dengan peguam, apabila sudah lebih tempoh 14 hari saya kena minta peguam saya bertindaklah,” katanya.
9 Oktober 2019, bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu memfailkan saman berdasarkan hantaran dibuat Muhammad Sanusi melalui akaun Facebooknya pada 30 Julai tahun sama mengaitkan beliau dalam isu pemindahan premis judi ke kawasan itu.
Pada 3 April, Muhammad Sanusi gagal dalam rayuan saman fitnah dalam kes tersebut selain Mahfuz memohon untuk menaikkan saman tersebut daripada RM50,000 kepada RM120,000.
Muhammad Sanusi kelmarin dilaporkan meminta Mahfuz agar menggunakan saluran peguam antara peguam untuk menyelesaikan isu bayaran saman berkenaan. – nasionalkini.my