KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan serangannya terhadap bekas Perdana Menteri (PM) dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan berjanji tidak akan membiarkan terlepas begitu sahaja.
PMX yang sudah disaman fitnah RM150 juta oleh Dr Mahathir sebelum ini berkata tidak akan bertolak ansur dan membiarkannya terlepas tanpa dihukum kerana mencuri duit rakyat, ia merupakan tuduhan sama yang diulanginya tanpa mempunyai bukti setakat ini.
“Sekarang bila kita ambil tindakan tentang rasuah, dia kata kita dendam.
“Saya tidak akan bertolak ansur, ingat kau Tun, kita akan biarkan? Tidak. Awak pukul, hina, maki, jatuhkan maruah saya, saya maafkan, tetapi tidak boleh maafkan jika awak curi duit rakyat,” katanya dipetik laporan Sinar Harian semasa ceramah di Persiaran Karpal Singh, Pulau Pinang malam tadi.
Serangan politik oleh Anwar tersebut dibuat semasa media melaporkan Dr Mahathir ketika ini sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).
Pada Mac lalu, Dr Mahathir menyaman fitnah Anwar dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan perdana menteri itu di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: “Pelaksanaan Sebuah Idealisme” pada Mac lalu.
Dr Mahathir mendakwa, kenyataan Anwar dalam ucapannya pada kongres itu membawa maksud beliau membolot harta untuk keluarga dan kehilangan harta, aset atau saham orang Melayu adalah berkait dengan harta, aset atau saham milik keluarganya.
Beliau turut mendakwa kenyataan Presiden PKR itu adalah tuduhan berat yang membawa impak besar terhadap dirinya yang membawa maksud kononnya bekas perdana menteri keempat dan ketujuh adalah seorang yang bersifat perkauman.
Tuntutan saman berkenaan difailkan Dr Mahathir di Mahkamah Tinggi Shah Alam melalui firma guaman Tetuan Law Practice of Rafique dengan menamakan Anwar sebagai defendan tunggal.
Dalam writ saman dan pernyataan tuntutannya, Dr Mahathir sebagai plaintif mendakwa ucapan Anwar membawa maksud beliau membolot harta untuk keluarga dan kehilangan harta, aset atau saham orang Melayu adalah berkait dengan harta, aset atau saham milik keluarganya.
Selain ganti rugi am sebanyak RM50 juta dan ganti rugi tauladan RM100 juta, Dr Mahathir turut menuntut perintah antaranya Anwar dengan serta merta menarik balik dan memadamkan kesemua kenyataan itu serta mengemukakan permohonan maaf secara bertulis kepadanya.