KUALA LUMPUR, 12 Julai – Pelajar universiti awam kini berpeluang mendapat inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, setiap pelajar yang layak akan menerima baucar bernilai RM300 dan boleh mula ditebus pada 15 Ogos ini.
Inisiatif berkenaan bakal memberi manfaat kepada 56,000 pelajar universiti awam melibatkan kos berjumlah RM16.8 juta.
“Majlis pelancaran rasmi inisiatif bantuan itu akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebuah universiti awam di Lembah Klang sebelum Hari Kebangsaan ini.
“Buat permulaan, kos subsidi tahun ini akan ditanggung Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) sebelum permohonan peruntukan daripada Kementerian Kewangan (MOF) dibuat pada tahun berikutnya,” katanya.
mengulas lanjut, Loke berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan melalui kaedah pemberian kredit yang mana syarikat penerbangan akan mengeluarkan baucar digital bernilai RM300 kepada setiap pelajar yang layak.
Antara syarat dikenakan termasuk pelajar yang layak mestilah warga Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di universiti awam tahun ini.
Pelajar yang layak juga mestilah berasal dari Sabah, Sarawak atau Labuan (berdasarkan alamat tetap) dan sedang menuntut di Semenanjung dan begitu juga sebaliknya. – nasionalkini.my