Sukry Ramly
KUANTAN, 4 Mei – Tiga unit kedai musnah dalam kebakaran di Lorong Tanjung Api 12, dekat Kampung Tanjung Api, dekat sini, malam tadi.
Pusat gerakan operasi Bomba Pahang menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 7.23 malam.
Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan bersama lima pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik laporan diterima.
“Berikutan keadaan api yang marak dengan cepat, pasukan pertama yang melakukan kerja pemadaman kebakaran terpaksa meminta bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota dan Gebeng.
“Secara keseluruhannya seramai 28 pegawai dan anggota bomba terbabit dalam operasi memadam dan mengawal kebakaran itu,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Selain tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, pihak bomba turut mendapat bantuan lima lagi jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota dan Gebeng.
Semua unit kedai dua tingkat itu musnah 100 peratus, namun tidak ada mangsa yang terbabit dalam kejadian itu.
Pihak bomba juga menggunakan jentera Aerial Ladder Platform dan teknik ‘water tower’ bagi memadamkan dan mengawal kebakaran daripada merebak ke bangunan berhampiran.
Difahamkan, Pengarah Bomba Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa turut berada di lokasi kejadian bagi memantau operasi itu.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba. – nasionalkini.my