in ,

CelcomDigi jamin penamatan perjanjian SSA dengan DNB tidak jejaskan perkhidmatan 5G

WhatsApp Image 2023 05 04 at 10.51.07 PM

KUALA LUMPUR 4 Mei – CelcomDigi Bhd. menyifatkan penamatan perjanjian langganan saham (SSA) yang ditandatangani pada November 2022 dengan Digital Nasional Bhd (DNB) akan membuka laluan kepadanya untuk mengambil bahagian dalam sebarang proses baharu termasuk penyertaan ekuiti, bersama industri.

Menerusi makluman di Bursa Malaysia, pengendali rangkaian mudah alih itu memberitahu telah menamatkan perjanjian SSA yang dimeterai pada November 2022 berkuatkuasa 3 Mei 2023.

Ini berikutan pengumuman Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengenai keputusan kerajaan untuk melaksanakan 5G di bawah dua rangkaian sebaik sahaja 80% liputan 5G kawasan berpenduduk (CoPA) telah dicapai oleh DNB.

Susulan itu, menerusi kenyataan di laman webnya, CelcomDigi menjelaskan pihaknya amat mengalu-alukan keputusan yang dibuat oleh kerajaan.

Malah, syarikat itu turut memberi jaminan kepada pelanggannya bahawa proses itu tidak akan memberi kesan kepada perkhidmatan 5G yang ditawarkannya.

“Pelanggan yang kini menggunakan sambungan 5G boleh terus menikmati perkhidmatan itu, berdasarkan tawaran produk yang berterusan,” jelasnya.

Pada masa sama, CelcomDigi turut mengalu-alukan peluang untuk memainkan peranan yang lebih aktif serta langsung dalam pelaksanaan 5G negara.

“Selain itu, kami juga mahu memanfaatkan pengalaman dan sumber, peluasan rangkaian 4G sedia ada termasuk rantaian bekalan dan ekosistem rakan kongsi kami untuk menyokong cita-cita 5G kerajaan.

“Ini kerana kami membawa penyelesaian dan penawaran 5G terbaik kepada pengguna dan perniagaan di Malaysia,” katanya.

Semalam, Fahmi berkata, kerajaan akan memperkenalkan rangkaian kedua 5G melalui satu entiti baharu yang akan diwujudkan pada awal 2024 serta menukar model pelaksanaan 5G ketika ini daripada rangkaian borong tunggal (SWN) kepada dwirangkaian.

Entiti baharu itu akan menjadi rangkaian kedua selepas pelaksanaan 5G ketika ini melalui DNB yang mana langkah itu diambil selepas melaksanakan penelitian menyeluruh mengenai impak kesan pelaksanaan 5G ketika ini. – nasionalkini.my

tembak

Sukan menembak di Malaysia berpotensi besar berkembang – Hannah Yeoh

terbakr

3 unit kedai musnah 100 peratus