KOTA KINABALU, 10 Ogos – Polis masih menyiasat kes keganasan rumah tangga yang didakwa dilakukan pegawai tinggi kerajaan bergelar Datuk, dalam kejadian di Inanam, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, setakat ini pihaknya menerima tiga laporan polis berhubung kejadian berkenaan.
“Dua laporan polis daripada wanita yang mendakwa dicederakan suaminya dibuat pada 19 April dan 18 Julai lalu dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18a Akta Keganasan Rumah Tangga.
“Satu lagi laporan diterima daripada suami pengadu pada 25 Julai lalu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Terdahulu, seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga menggesa supaya polis mengambil tindakan tegas termasuk menjalankan siasatan terhadap laporan yang dilakukan terhadap suaminya.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, 31, dilaporkan berkata laporan polis dibuat susulan tiga insiden dicederakan suaminya yang juga pegawai tinggi kerajaan di sebuah kementerian di negeri ini. – nasionalkini.my