KUALA LUMPUR, 26 Julai – Seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ dan dua rakan kongsinya ditahan bersama wang tunai bernilai RM38 juta, emas seberat anggaran 200 kilogram bernilai kira-kira RM60 juta serta 17 kereta mewah dalam Op 82S, kelmarin.
Operasi besar-besaran yang dilakukan oleh Pasukan Petugas Agensi-Agensi Penguatkuasa Malaysia – Multi Agency Task Force (MATF), turut dilakukan serentak di 34 lokasi di Kuala Lumpur dan Selangor dengan melibatkan kekuatan 315 pegawai pelbagai agensi itu.
Turut disita 17 kereta mewah antaranya berjenama Maserati, Ferrari dan Mercedes Benz.
Kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an ditahan kerana disyaki terlibat dengan rasuah, pecah amanah, penyeludupan barang-barang haram dan pengurangan cukai tidak sah.
“Operasi ini merupakan kes pertama yang dijalankan di bawah Pasukan Petugas MATF yang dipengerusikan oleh Peguam Negara,” kata sumber itu.
Menurut sumber, operasi itu dijalankan dengan kerjasama enam agensi penguatkuasaan lain iaitu Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam, Bank Negara Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Cyber Security Malaysia.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan kesemua penahanan berkenaan. – nasionalkini.my