SHAH ALAM, 6 Mei – Seminggu lalu dunia hiburan tanah air dikejutkan dengan pemergian ‘Raja Metal’ Syed Ismail Syed Ibrahim atau lebih dikenali dengan panggilan Mael XPDC.
Ketika ini ramai peminat fanatik kumpulan itu tertanya-tanya siapa akan menggantikan tempat beliau.
Persoalan itu diajukan kepada anggota XPDC yang hadir pada majlis tahlil allahyarham Mael di Puchong malam tadi.
Bagaimanapun menurut mereka, setakat ini perkara itu belum dibincangkan namun tidak menafikan ia akan diputuskan kemudian.
Jelas pemain bass XPDC, Zuar, perkara itu perlu dilakukan dengan teliti memandangkan karisma Mael dalam dunia muzik genre Rock Metal terlalu kuat.
“Ya lah, mahu tidak mahu kita perlu fikirkannya untuk meneruskan kelangsungan perjuangan XPDC dalam industri hiburan tanah air.
“Namun ia tak mudah dan buat masa ni kami semua belum fikirkannya lagi. Masa ini kita nak fokus dengan beberapa konsert yang perlu kita penuhi mengikut perjanjian dengan penganjur,” katanya dipetik dari Astro Awani.
Jelasnya lagi, XPDC akan membuat penilaian sesuai bila tiba masanya dan segala aspek akan diambil kira mengikut kesesuaian kriteria tertentu, selain perlu memenuhi ‘jiwa’ dan watak XPDC.
Bagi konsert yang akan diadakan pula katanya, XPDC akan mengundang beberapa penyanyi jemputan sementara selain menjemput peminat mereka sendiri untuk bersama-sama menjayakannya.
“Tapi penyanyi jemputan itu bukanlah bermakna mereka akan jadi penyanyi tetap XPDC.
“Malah kita juga akan beri peluang kepada peminat setia untuk turut sama menyanyi bersama kita nanti,” katanya lagi.
Sementara itu XPDC dan pihak keluarga Allahyarham merakamkan rasa terima kasih kepada seluruh rakyat di negara ini yang telah menunjukkan keprihatinan yang tinggi atas pemergian penyanyi metal tersohor itu.
Menurut adiknya Syed Ali Syed Ibrahim, keluarganya cukup terharu dengan penghargaan dan keprihatinan yang ditunjukkan sepanjang seminggu pemergian Allahyarham.
Baginya, ia sesuatu yang cukup luar biasa dan sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata.
Allahyarham meninggal dunia 27 April lalu selepas dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar akibat sesak nafas. – nasionalkini.my