LUBNAN, 30 JJulai – Sekurang-kurang seorang maut dan enam cedera dalam pertempuran di kem pelarian Palestin, Ain al-Hilweh yang bergolak di selatan Lubnan.
Memetik laporan AFP, Pegawai kanan parti Fatah pimpinan Presiden Palestin, Mahmud Abbas, Mounir Makdah memaklumkan kejadian berlaku semalaman itu turut mencederakan kanak-kanak.
“Kami sedang berusaha untuk menamatkan pertempuran dan memburu mereka yang terbabit dalam insiden berkenaan,” katanya hari ini.
Pertempuran antara kumpulan berseteru sering berlaku di Ain al-Helweh yang menempatkan lebih 54,000 pelarian Palestin berdaftar.
Mereka termasuk ribuan rakyat Palestin yang melarikan diri daripada konflik di Syria dan berlindung di kem itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Sementara itu, sumber warga Palestin di kem terbabit mendakwa bahawa mangsa terkorban adalah ahli kumpulan al-Shabab al-Muslim, manakala seorang pemimpinnya turut cedera.
Malah, katanya, pertempuran menyebabkan anggota Fatah menentang kumpulan-kumpulan di kem itu yang terletak berhampiran bandar pesisir pantai Sidon. – nasionalkini.my